BRIGED GERAK GEMPUR (MAHAFIA) UMNO DI MASJID

Setelah sekian lama gagal dalam menonjolkan imej Islamnya, UMNO kini mula mahu menunjukkan belang dan samsengnya pula. Sejurus pengumuman MB Selangor Abu Hassan bahwa masjid-masjid dan surau-surau di Selangor akan serta-merta ditadbir oleh ahli-ahli J/K yang dilantik oleh kerajaan UMNO dan tidak lagi dipilih oleh ahli kariah, kini juak-juak beliau pun mulalah menghayun langkah masing-masing. Yang terbaru ADUN Kelana Jaya yang juga Ketua UMNO Bahagian Subang – Mokhtar Dahlan, telah mengarahkan tenaga (Mahafia) pemudanya agar menubuhkan satu unit yang dikenali sebagai Briged Gerak Gempur Masjid (briged yang sama juga akan diujudkan di bahagian-bahagian lain)

Briged ini digembeling dari tenaga Pemuda Gerak Gempur UMNO yang digunakan semasa pilihanraya lalu. Seramai 200 orang Pemuda ini diarahkan agar meramaikan masjid dan surau di seluruh Bahagian Subang membawa dari Kelana Jaya ke Kg. Melayu Subang, Bukit Lanjan, Bandar Sunway, Subang Jaya sehinggalah ke sempadan Puchong. Tugas mereka adalah memantau program kuliah dan khutbah Jumaat untuk dilaporkan kepada UMNO Bahagian kiranya ada yang mempunyai unsur-unsur yang merugikan UMNO dan kerajaan untuk diambil tindakan.

Oleh itu kepada Tuan-tuan yang berada dalam kawasan ini janganlah terkejut apabila tiba-tiba melihat jemaah selepas maghrib tiba-tiba lebih ramai dari biasa, atau ramai muka-muka baru yang tidak dikenali. Mereka mungkin ahli Briged Gerak Gempur ini. Malah menurut laporan ada pun yang telah memulakan tugasnya khususnya di sekitar masjid-masjid di Subang Jaya.

Sedih sungguh melihat anak-anak bangsa kita digunakan bagaikan alat bagi memanjangkan kerja-kerja jahat UMNO itu. Biasanya kerja-kerja seumpama ini dibuat oleh musuh-musuh Islam seperti Mosad di Israel dan tanah jajahannya serta Savak semasa pemerintahan Shah di Iran dahulu kini UMNO pula menjadi juara memperalatkan anak-anak muda untuk menjadi tali-barut bagi menjahanamkan cahaya kebenaran Islam. Betapa jijik dan curangnya kerja seumpama ini namun UMNO tergamak lakukan demi survival politik mereka yang semakin disisihkan oleh umat Melayu itu..

Kita yakin perancangan manusia tidak dapat mengatasi perancangan Allah Yang Maha Besar lagi Maha Gagah. Kita yakin anak-anak muda yang dikira samseng dan komando UMNO ini kiranya berterusan dihantar ke masjid dan surau sungguhpun dengan niat jahat akhirnya insyallah satu hari nanti mereka ini akan lari meninggalkan perjuangan UMNO yang sia-sia itu serta bernaung pula di bawah panji-panji Islam. Kita menggesa agar Tuan-tuan Guru yang mengajar dimasjid-masjid dan surau-surau agar membacakan doa selepas kuliah pengajian masing-masing (yang pasti akan diaminkan oleh semua yang hadir termasuk si komando tadi) memohon kehadrat Allah swt agar dibuka dan dilembutkan hati mereka-mereka yang hadir dengan niat yang serong ini agar dengan izin Allah menerima cahaya kebenaran Islam.

Teruskanlah dengan agenda jahat mu wahai Abu Hassan, Mokhtar dan seluruh kepimpinan UMNO Selangor. Kami sekadar memohon perlindungan dari Allah swt, tidak ada yang kami gentar ataupun takut melainkan kepada murka dan azab Allah jua. Cahaya kebenaran Islam terlalu mahal dan tinggi untuk dipadamkan oleh tangan-tangan jahat mu itu. Allahuakbar!

Saduran mesej daripada:

Roslan_s@yahoo.com